PERSONALITI PISMP 4J

Monday, August 15, 2011

Dari Elite Ke Ulu


 
Kolej Elitenya.....MCKK

Cikgu Nor melihat wajah-wajah kelas Ting 1 Kemboja yang masih belum dikenali itu. Wajah-wajah asing dengan nama yang aneh-aneh. Semuanya sunyi sepi, malu, menikus. Berpasang-pasang mata terkebil-kebil  dengan lemparan pandangan yang kosong ke wajah Cikgu Nor. Cikgu Nor mengulang-ngulang soalan yang sama.
“ Students ! 10 times 10. What’s the answer ?”.
Masih tiada jawapan. Cikgu Nor kecewa.
“ My God. They are so stupid !”.
Kebuntuan itu menjadikan Cikgu Nor mengeluarkan kata-kata berbisa di dalam hati. Hari itu Cikgu Nor bukan Cikgu Nor lagi. Sebenarnya Cikgu Nor tidak betah bersikap demikian....namun dek kerana kekecewaan yang melangkaui batas maka tidak dapat dikawal perasaannya hari itu. Air matanya bergenang. Ah! Perempuan.....sikit-sikit nak hujan !!

Kebetulan Guru Pakar, juga Ketua Panitia Matematik, Mr Ho datang menjengah ke kelas Cikgu Nor yang baru seminggu melaporkan diri ke Sek Men Keb Ulu itu. Tujuan Mr Ho, mendapatkan maklumat perkhidmatan perguruan Cikgu Nor yang masih belum lengkap.

“ Is everything fine Cikgu ?”
Mr Ho memulakan dengan soalan yang agak mesra apabila berhenti di pintu kelas.
Cikgu Nor membalas dengan nada jiwa yang patah.
“ Mr Ho. Gosh ! They don’t understand even a word from me. They could not answer 10 x10. They don’t understand mathematics at all!”
“ They are Orang Asli students Cikgu. Don’t expect they are similar to your smart students of your former college. Your challenge to educate them !”.

Mr Ho memberi respon yang menampar hati Cikgu Nor. Jawapan dari seorang pendidik yang terlebih dahulu makan garam berbanding Cikgu Nor dalam arena pendidikan.

Kata-kata Mr Ho memang berbekas dalam hati dan minda Cikgu Nor. Cikgu Nor tidak sepatutnya membanding-bandingkan kebolehan pelajar-pelajar sekolahnya sekarang dengan pelajar-pelajar yang telah ditinggalkannya dari sebuah kolej elite negara. Pelajarnya dahulu adalah pelajar-pelajar  terbaik negara yang mendapat pembelaan yang terbaik dalam pendidikan . Mereka diasuh menjadi pemimpin masa hadapan. Sedangkan pelajar-pelajar yang berada di hadapannya sekarang adalah golongan yang tercicir dan sering dipinggirkan. Antara dua darjat. Satu elite dan satu lagi, ulu. Ah ! Hidupku...dari elite ke ulu. Cikgu Nor bermonolog.

Seminggu, dua minggu, menjadi sebulan. Cikgu Nor masih berduka. Belum dapat membiasakan diri dengan budaya ulu itu.
“ Kalau dulu...aku ajar satu...pelajarku faham sepuluh. Disini....aku ajar sepuluh...satupun  mereka tak tahu “ Terus-terusan Cikgu Nor mengeluh. Dia benar-benar tidak menyukai pelajar-pelajar Asli itu.

Sebulan, dua bulan, menjadi setahun. Benarlah kata pepatah orang dulu-dulu. Tak kenal, maka tak cinta. Makin hari semakin Cikgu Nor mengenali hati budi pelajar-pelajar Aslinya. Ternyata mereka adalah pelajar-pelajar yang begitu menghormati guru-guru dan tersangat patuh kepada arahan. Pendekatan mengajar pelajar-pelajar Asli tidak sama dengan mengajar pelajar-pelajar bukan Asli. Cikgu Nor telah berguru dari kesilapan-kesilapannya yang lepas.

 
Pelajar-pelajar Ulunya...

Begitu manis budi pelajar-belajar Asli itu. Mereka tidak banyak karenah. Kelas tetap terkawal walaupun guru tiada kerana menghadiri mesyuarat. Tiada kes buli, tiada kes kurang ajar, tiada kes buat kecoh di dalam kelas, tiada kes merokok!. Masalah mereka sekadar ketidakhadiran , tidak mandi, baju tidak bergosok, rambut tidak bersikat, kaki tidak berkasut dan buku latihan entah kemana , jiwa dan raga mereka masih tertambat dengan kehidupan jauh nun di hutan. Tetapi Cikgu Nor telah jatuh cinta kepada anak-anak Asli itu. Yang pasti.....bukan cinta pandang pertama.

“ Teacher ! Teacher ! Selamat pagi!” Mereka pantang melihat kelibat Cikgu Nor , pasti ditegur dengan senyuman melebar walaupun malu-malu kucing. Cikgu Nor sendiri pantang melihat anak-anak Asli itu, pasti ditegurnya jua dengan kemesraan dan usikan keibuan. “ Wah ! Cantik kamu hari ini !” . Tersipu-sipu Wah Suda. “ Cikgu pun cantik .” Pandai dia mengambil hati Cikgu Nor.

Begitulah masa terus berlalu. Cikgu Nor mengajar pelajar-pelajar Asli itu dengan penuh semangat dan bertanggungjawab tanpa diskriminasi lagi. Kelas jadi ceria apabila Cikgu Nor memulakan pengajaran dengan bertanya soalan-soalan berkisar kehidupan dan budaya ulu mereka. “ Pernah nampak harimau?”  Anak-anak Asli begitu teruja bercerita tentang segala macam binatang buas di kampung halaman mereka yang dianggap barang permainan sahaja apabila Cikgu Nor meluahkan rasa ingin tahu !! Ada-ada aja....tentang cari rotan, cari petai, cari madu....menyumpit dan berburu babi hutan !!! Soalan Matematik entah kemana !!

“ Teacher nak hadiah tak ?” Seorang gadis Asli , Wah Sanah , mewakili teman-teman sekelasnya, bertanya Cikgu Nor. “Hadiah ! Eh! Siapa yang tak nak hadiah !!” Wajah Cikgu Nor bercahaya.

Sebaik pulang dari cuti penggal seminggu kumpulan gadis Asli itu mengotakan janji mereka . Cikgu Nor telah dihadiahkan dengan sekampit padi huma. Cikgu Nor tersentuh.....kerana belum ada lagi mana-mana guru di Sek Men Ulu yang pernah menerima hadiah seumpamanya. Padi huma itu amat bemakna sekali buat Cikgu Nor kerana pemberian padi huma dalam budaya Orang Asli menandakan seseorang itu amat istimewa. Yaa...Cikgu Nor istimewa di hati anak-anak Asli itu. Bagi Cikgu Nor pula, pelajar-pelajar Asli itu adalah pelajar-pelajar teristimewa sepanjang 2 dekad menjadi pendidik. Mereka terlebih istimewa daripada pelajar-pelajar elitenya dulu.

No comments:

Post a Comment