PERSONALITI PISMP 4J

Wednesday, August 3, 2011

Pelangi Di Hati Guru

Pelangi Di Hati Guru


MasyaAllah anak itu….kepunyaan siapa anak itu….? Dunia yang kian ketandusan semangat anak muda….Dia mengamati bait-bait ayat yang dimuntahkan anak muda itu. Petah, tulus , penuh makna. Hari ini…anak-anak muda lagha, leka, dicandukan dengan pelbagai kemudahan teknologi yang lebih banyak mengundang bahaya kepada aqidah dan iman. Akibatnya longlai dan layu dalam mentadbir urusan diri sendiri..…apatah lagi mentadbir masyarakat sekeliling. Malah…mereka terpaksa ditadbir dengan susah payah oleh orang lain. Orang tuanya, saudaranya, jirannya, gurunya, pemerintahnya…..Tapi, anak muda ini nyata berbeza dari sekian anak muda yang bertebaran di muka bumi. MasyaAllah …beruntung benar ayahbondanya melahirkan putera sedekian rupa.
Ya Allah kau lindungilah anak-anakku. Jadikanlah mereka sebaik anak muda itu atau lebih baik adanya. Guru itu bermunajat.



Guru itu memuji keterlibatan anak itu dalam  pengucapan awam di kampus. “ Bagus.…MasyaAllah. Kepetahan kamu satu anugerah Allah. Sangat mengujakan saya”. Guru itu terus-terusan memberi pujian, tetapi agak berhati-hati agar tidak begitu melangit agar terhindar riak, ujub, sum’ah anak muda itu.”Saya belasah aje cikgu !” jawapan yang bernada gurauan dan merendah diri. Ah! Tidak mungkin belasah. Ketahuilah…nikmat dan hikmah adalah anugerah Allah. Allah telah memberi kelebihan itu kepadanya sedangkan guru itu sendiri yang mempunyai profesion berucap di depan khalayak pelajar selama puluhan tahun pun tidak mampu mempamerkan kepetahan sedemikian rupa. Ya….ia satu anugerah.

Hari-hari berlalu. Bagaikan pelangi tumbuh dihati guru itu melihat anak muda itu. Anak muda yang penuh bersemangat, bertanggungjawab dan bersungguh-sungguh dalam apa sahaja tugasan yang diberi. Rentetan dari pengamatan sang guru, maka ada sahaja bantuan yang dipohon dari anak muda itu untuk membantu menyelesaikan pelbagai tugas-tugas rasmi guru tadi. Ianya menjadi rahmat sang guru ditakdirkan bertemu anak didik yang ringan tulang dan sentiasa bersedia.

Pelangi dihati guru itu kian indah berwarna-warni. Tidak bercahaya, tapi berseri. Perasaan yang luar biasa. Dia sendiri sukar menafsirkannya.

Hari-hari berlalu. Langit tidak selalu cerah.Disangkanya panas sampai ke petang, rupanya badai ditengah hari.Dimana silapnya pun guru itu tidak mampu memberi kepastian. Anak muda itu tidak lagi menunjukkan riak seperti biasa. Bertitik tolak dari kealpaan guru itu sendiri, anak muda itu berjauh hati. Kuliah guru itu menjadi hambar, terasa terlalu lama menunggu masa penamatnya.

Guru itu menjadi gundah gulana dek terbaca  riak wajah anak muda itu. Mana bisa terganggu kekusyukan ketika bersolat, mana bisa hilangnya manis beribadah hanya kerana anak muda itu..mengeluh hati sang guru.Doanya menjadi senjata.Doa Nabi Yusuf sentiasa basah dibibir.”Ya Allah. Aku berlindung kepada Allah(dari perbuatan keji). Sesungguhnya Tuhanku telah memeliharaku dengan sebaik-baiknya. Sesungguhnya orang-orang zalim tidak akan Berjaya”. Bantuan Allah dipohon melalui tilawah, zikir, tahajjud dan solat hajat. Ya Allah berilah aku kekuatan melawan nafsuku sendiri, berilah aku kekuatan dalam iman dan taqwa.Jadikan hari ini lebih baik dari sebelumnya. Rintih guru itu penuh pasrah.

Tidak keruan. Hati guru kian bercelaru. Kerana pelangi itu masih ada, tidak hilang bersama reaksi hiba anak muda, ia masih bersemi dan berseri walaupun mendung datang bertamu tanpa diundang. Jauh di sudut hati, guru itu menyeru..datanglah anak muda. Hamburkan segala kekhilafan gurumu ini agar detik dulu bermula semula. Kaulah satu-satunya yang menjadi pelangi itu. Kaulah yang satu antara ratusan anak-anak didik yang gurumu  kasihi…dan sebenarnya gurumu ini tidak rela kehilangan pelangi hatinya walaupun hadirnya sekadar sahaja.

No comments:

Post a Comment